Lumrah manusia, kita tidak suka andai diri disisih dan dipinggirkan.  Oleh kerana itu, kebanyakan individu gemar diberikan perhatian. Namun,  untuk meraih perhatian orang lain, kita perlulah memiliki daya tarikan.
Sebenarnya,  kita tidak perlu menjadi seorang yang popular seperti artis untuk  meraih perhatian, tetapi dengan personaliti tertentu yang diserlahkan,  sesiapapun mungkin akan melirik pandang kepada anda.
Adakalanya,  perhatian amat penting kerana daripadanya tercetus keyakinan diri. Ia  juga membuatkan kita optimis untuk menempuh apa juga situasi.
Berikut beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk menjadi individu menarik:
Pamerkan air muka bertenaga
Sapa  orang sekeliling dengan suara jelas sambil mempamerkan air muka yang  bertenaga. Sesiapapun akan berasa kagum dengan anda walau pertama kali  berjumpa.
Tenang dan kawal diri
Bercakap dengan nada terkawal, tidak terlalu gopoh dan tidak terlalu teruja. Kawal emosi walaupun ketika anda sedang sakit hati.
Pakaian kemas dan bersih ke mana-mana sahaja
Biasa  tengok David Beckham? Penampilannya di padang bola, ketika menghadiri  majlis makan malam, pelancaran produk atau anugerah tertentu, dia cukup  menyerlah. Kenapa? Ini kerana dia selalu berpakaian kemas, bersih dan  segak ke mana-mana sahaja.
Walaupun anda suka memakai baju-T dan jean, ia tidak mengapa asalkan nampak bersih, ringkas dan menarik.
Selain  itu, kita perlu bijak menyesuaikan pakaian dengan situasi, keadaan atau  majlis. Dengan itu, barulah kita kelihatan menonjol dan sesiapa juga  akan tertarik untuk menegur kita.
Pilih yang positif, lupakan yang negatif
Jika  anda pernah ada krisis dengan sesiapa atau anda pernah bertengkar  dengan sesiapa, jangan ada benci. Pilihlah untuk berkawan dengannya,  elak bermusuh dengannya lama-lama. Dendam kesumat yang ada di dalam hati  membuatkan anda berfikiran negatif. Ini kerana, dendam itu akan menarik  sifat marah, panas baran dan perengus. Sikap-sikap ini membuatkan  sesiapa sahaja kurang senang dengan anda, walaupun ibu, bapa atau  adik-beradik sendiri. Jadi, untuk menjadi individu menarik, bersedia  untuk membuang sikap tersebut sekurang-kurangnya secara beransur-ansur.  Pilih yang positif, lupakan yang negatif, selupa yang mungkin.
Selain itu, buang sikap negatif jauh-jauh, sejauh yang mungkin!
Berkawan dengan sesiapa sahaja
Jangan pilih dengan siapa anda berkawan. Jaga hati setiap orang. Anggap semua orang penting.
Bagi  setiap individu, mereka mahu dihargai. Jadi, untuk menarik minat mereka  terhadap anda, layan mereka dengan baik, pamerkan kesopanan, jaga  pandangan mata (eye contact) dan jaga postur badan anda. Elak berpeluk  tubuh atau menyilang kaki ketika bercakap.
Bergaullah dengan  sesiapa sahaja, kerana ia akan membuatkan anda bijak menyesuaikan diri  dengan semua orang, peringkat umur dan bangsa. Bak kata pepatah, 'bila  masuk kandang ayam, berkokok... masuk kandang kambing, mengembek...  masuk kandang harimau, kita mengaum!'
Berterus terang, telus dan jujur
Ini  tip yang paling penting. Jangan kata anda seorang yang jujur, tetapi  tidak mempamerkan kejujuran dalam apa juga yang anda lakukan dan di mana  anda berada. Jangan kata anda seorang yang telus, tetapi tidak  mempamerkan ketelusan dalam apa juga yang anda kerjakan. Buat dan  buktikan lebih baik daripada bercakap, sebab orang sekeliling lebih  memandang apa yang anda buat. Masyarakat bijak menilai. Mereka tahu,  orang yang banyak bercakap daripada melaksanakan sesuatu atau hanya tahu  mempamerkan kehebatan diri dalam kata-kata yang diucapkan tetapi kurang  dari segi pencapaian.
Sentiasa senyum
Senyum merupakan  aset berharga untuk diri anda. Kalau tidak, masakan seseorang boleh  jatuh cinta disebabkan dengan satu senyuman sahaja. Kata orang, senyum  itu sedekah. Senyuman membawa 1001 makna. Senyuman yang ikhlas dapat  menenangkan hati orang lain.
Jika ada orang tidak senyum pada anda, maka hadiahkan mereka senyuman. Ia mendekatkan lagi jarak anda dengan mereka.
Banyak memberi
Masyarakat  sukakan individu yang suka memberi. Tidak kisah apa-apa pun. Mungkin  dari segi barangan, wang ataupun pertolongan dalam bentuk fizikal.  Manusia tidak sukakan mereka yang hanya mementingkan diri sendiri. Oleh  itu, belajarlah untuk memberi.
Berikan pujian
Manusia  sebenarnya dahagakan pujian. Tetapi masalahnya, semua sibuk dengan hal  masing-masing. Jadi, apa salahnya jika kita memberi sedikit pujian.  Dengan ini, ia akan membuatkan mereka merasa bahawa mereka seorang yang  berharga di mata anda. Percayalah dengan membuat orang lain bahagia,  anda juga akan turut bahagia.
Mempunyai prinsip
Berprinsip  merupakan ciri penting untuk menjadi individu yang menarik. Lihat pada  Mahatma Gandhi. Beliau merupakan orang biasa sahaja. Tidak kaya pun.  Tetapi mengapa beliau menjadi individu menarik? Sebabnya, beliau  mempunyai prinsip untuk menolong masyarakat daripada dibelenggu  penjajah.
Mempunyai keyakinan diri
Tip ini penting. Anda  mesti mempunyai keyakinan diri terhadap diri anda. Anda mesti percaya  dengan diri anda. Jika anda tidak percaya, mana mungkin orang lain juga  akan percaya kepada anda.
Sumber : www.jobsmalaysiaonline.info